Manfaatkan Teknologi Pengurusan Linen Berkualiti
– MB Negeri Sembilan
Media Rania | 08 November 2021
PORT DICKSON, 8 Nov – Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun hari ini melancarkan produk Linen Management System dan seterusnya menyaksikan majlis menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) di antara Intellino Sdn Bhd dengan Malaysian Association of Hotels (MAH) Negeri Sembilan Chapter dan juga dengan De Dixon Laundry Negeri Sembilan dan Melaka.
Beliau berkata, pengurusan linen yang dibangunkan oleh Intellino Sdn Bhd ini dijangka dapat membantu pihak hotel dalam menyediakan linen berkualiti tanpa sebarang kos permulaan.
“Setiap linen yang diuruskan oleh syarikat tersebut akan dilekatkan dengan tag 𝘙𝘢𝘥𝘪𝘰-𝘍𝘳𝘦𝘲𝘶𝘦𝘯𝘤𝘺 𝘐𝘥𝘦𝘯𝘵𝘪𝘧𝘪𝘤𝘢𝘵𝘪𝘰𝘯 (RFID) supaya lebih mudah untuk dijejaki,” katanya.
Menurut beliau lagi, difahamkan bahawa syarikat Intellino bersedia untuk membuat perolehan linen berjumlah RM6 juta untuk hotel-hotel di Negeri Sembilan.
Pengerusi Majlis Pimpinan Negeri (MPN) KEADILAN negeri itu berharap agar pengusaha-pengusaha hotel di Negeri Sembilan dapat mengambil peluang menggunakan sistem ini sekiranya dapat memberikan produk dan perkhidmatan yang berkualiti serta berbaloi dari segi penjimatan kos.
Dalam perkembangan berkaitan, hampir semua hotel di Negeri Sembilan kini mengalami masalah kekurangan pekerja sehingga menyebabkan ada pengurus hotel yang terpaksa melakukan kerja-kerja pembersihan bilik.
Pengerusi Persatuan Hotel-Hotel (MAH) Negeri Sembilan, Haziz Hassan, berkata masalah itu berlaku kerana sebelum ini ramai pekerja yang terpaksa diberhentikan dan beralih kepada bidang lain.
“Bila pekerja tak cukup, itu yang menyebabkan berlaku masalah pelanggan lambat dapat bilik walaupun telah mendaftar masuk seperti mana kes yang terjadi di beberapa negeri baru-baru ini.
“Namun saya difahamkan situasi di Negeri Sembilan terkawal dan masih belum ada laporan sebegitu,” katanya ditemui selepas pelancaran Sistem Pengurusan Linen yang dirasmikan Aminuddin, hari ini.
Katanya, dalam tempoh empat minggu selepas aktiviti rentas negeri dibenarkan, semua hotel di Port Dickson penuh setiap hujung minggu atau hari biasa.
Keadaan itu dijangka berterusan hingga hujung tahun ini lebih-lebih lagi ‘mood’ orang ramai yang mahu bercuti selepas lebih setahun tidak dibenarkan merentas negeri.
“Ia sememangnya satu perkembangan yang sangat positif selepas industri hotel terjejas teruk, cuma sekarang kita alami kekurangan pekerja yang kritikal,” katanya sambil menambah pihaknya turut menghadapi masalah mendapat pekerja sambilan walaupun upah dinaikkan dari RM6 kepada RM9 sejam.
Bagi mengatasi isu kekurangan pekerja, katanya, MAH Negeri Sembilan dalam proses mengambil pelajar dalam bidang perhotelan dari Medan, Indonesia untuk membuat praktikal di hotel ahli dalam tempoh enam bulan.
#NogoriKito
#CaroKito
#PakaiPelitupMuka
#NegeriSembilanBersihMuafakatSejahtera