Pengurus Pun Terpaksa Kemas Bilik
MOHD KHIDIR ZAKARIA | 08 November 2021 | bhnews@news.com.my
PORT DICKSON: Hampir semua hotel di Negeri Sembilan kini mengalami masalah kekurangan pekerja sehingga menyebabkan ada pengurus hotel yang terpaksa melakukan kerja-kerja pembersihan bilik.
Pengerusi Persatuan Hotel-Hotel (MAH) Negeri Sembilan, Haziz Hassan, berkata masalah itu berlaku kerana sebelum ini ramai pekerja yang terpaksa diberhentikan dan beralih kepada bidang lain.
Haziz (kanan) ketika MoU bersama pengusaha hotel di Thistle Hotel, Port Dickson.
– Foto NSTP/Mohd Khidir Zakaria
“Bila pekerja tak cukup, itu yang menyebabkan berlaku masalah pelanggan lambat dapat bilik walaupun telah mendaftar masuk seperti mana kes yang terjadi di beberapa negeri baru-baru ini.
“Namun saya difahamkan situasi di Negeri Sembilan terkawal dan masih belum ada laporan sebegitu,” katanya ditemui selepas pelancaran Sistem Pengurusan Linen, hari ini.
DISYORKAN UNTUK ANDA
Katanya, dalam tempoh empat minggu selepas aktiviti rentas negeri dibenarkan, semua hotel di Port Dickson penuh setiap hujung minggu atau hari biasa.
Keadaan itu dijangka berterusan hingga hujung tahun ini lebih-lebih lagi ‘mood’ orang ramai yang mahu bercuti selepas lebih setahun tidak dibenarkan merentas negeri.
“Ia sememangnya satu perkembangan yang sangat positif selepas industri hotel terjejas teruk, cuma sekarang kita alami kekurangan pekerja yang kritikal,” katanya sambil menambah pihaknya turut hadapi masalah mendapat pekerja sambilan walaupun upah dinaikkan dari RM6 kepada RM9 sejam.
Bagi mengatasi isu kekurangan pekerja, katanya, MAH Negeri Sembilan dalam proses mengambil pelajar dalam bidang perhotelan dari Medan, Indonesia untuk buat praktikal di hotel ahli dalam tempoh enam bulan.